Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rakyat Malaysia Buang 1kg Makanan Setiap Hari. Kayanya Kita!

Akta Pembaziran Makanan akan digubal selepas kajian teliti mengenai keperluannya selesai dilaksanakan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata kewujudan akta itu dilihat penting dalam usaha kerajaan mengelak tabiat pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

“Purata seorang rakyat Malaysia membuang hampir satu kilogram makanan setiap hari memerlukan perhatian khusus oleh pihak berkepentingan.

“Bagi tujuan itu, kerajaan sedang mengkaji dengan teliti dari pelbagai sudut keperluan menggubal akta tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di sini hari ini.

Majlis penutupan pameran ekspo pertanian terbesar di Asia Tenggara di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini yang bermula sejak 22 Nov lepas itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata melalui akta tersebut, masyarakat secara tidak langsung akan terdidik dalam menghargai dan mengelak tabiat pembaziran makanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan denda ke atas pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan melaksanakan ‘Program Food Bank Malaysia’ bagi menangani isu pembaziran makanan di pusat membeli-belah.

Dr Wan Azizah berkata program bakal dilaksanakan di seluruh negara bermula awal tahun hadapan itu akan menyaksikan lebihan makanan diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

“Dengan mengurangkan tabiat pembaziran makanan, saya pasti secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Mengenai MAHA, Timbalan Perdana Menteri berharap pameran dwi tahunan itu tidak menjadi sekadar satu pameran semata-mata sebaliknya dimanfaatkan oleh pengunjung dan pempamer dalam memajukan aktiviti atau industri agromakanan yang diceburi.

Beliau juga berharap pengunjung dapat menjadikan kejayaan golongan petani, penternak dan nelayan serta usahawan industri asas tani sebagai inspirasi untuk menceburi bidang keusahawanan pertanian.

Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan keyakinan kejayaan usahawan tani sehingga ke peringkat antarabangsa yang ditampilkan dalam MAHA akan menghakis persepsi negatif bidang agromakanan dalam kalangan masyarakat. –
BERNAMA

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.