Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Subhanallah! 7 Perkara Ini Dapat Menyebabkan Pahala Terus Mengalir Walaupun Sudah Meninggal Dunia

Kehidupan dunia dan akhirat itu dihubungkan dengan amal. Matinya seorang anak Adam tidak bermakna semua hubungannya dengan dunia turut terputus. Masih ada beberapa amalan yang disebutkan secara jelas dalam hadis yang membolehkan pahala buat si mati terus mengalir. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Antara amal jariah yang akan sampai pahalanya kepada seseorang Muslim selepas matinya ialah: Ilmu yang dipelajari dan disebarkan, Anak soleh (yang mendoakannya), naskhah al-Quran yang diwakafkannya, masjid yang dibinanya, rumah tumpangan yang dibinanya untuk golongan musafir, atau sungai yang dialirkan untuk kepentingan orang ramai, sedekah yang diberi semasa sihatnya. Amal-amal ini akan sampai untuknya selepas dia mati.”
(HR. Ibn Majah – hadis hasan)

Dalam hadis lain yang kerap kita dengar pula adalah seperti di bawah;

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”
(HR Muslim)

Maka dapat disimpulkan di sini tujuh perkara yang dapat membantu seorang Muslim itu mendapat pahala berterusan walaupun sudah meninggal dunia:

1. Ilmu Yang Dipelajari Dan Disebarkan

Ilmu yang disebarkan ini boleh jadi dalam bentuk ucapan, tulisan ataupun apa sahaja. Namun syarat yang paling penting ialah ilmu tersebut mestilah terlebih dahulu dipastikan benar.

2. Anak Soleh Yang Mendoakan

Sesungguhnya anak soleh merupakan pelaburan yang menguntungkan buat para ibu bapa. Usaha untuk mendapatkan anak yang soleh sepatutnya perlu dimulakan sebelum berkahwin lagi. Persediaan yang diperlukan bukan sahaja dari segi mental dan fizikal malah dari sudut ilmu pendidikan anak-anak.

3. Naskhah Al-Quran Yang Diwaqafkan

Sekarang surau terdapat di mana-mana contohnya di pusat beli belah, stesen bas dan juga stesen minyak. Anda boleh memberi naskhah Al-Quran untuk diwaqafkan di surau-surau yang ada supaya ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang singgah untuk solat.

4. Membina Masjid

Betapa besarnya ganjaran bagi orang yang membina rumah ibadat kerana ia dikunjungi oleh orang setiap hari untuk beribadah kepada Allah. Saranan ini selari dengan satu lagi hadis berkaitan iaitu:

عن عثمان بن عفان يقول، إني سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: من بنى مسجدا يبتغي به وجه الله، بنى الله له مثله في الجنة

Daripada Uthman bin`Affan katanya sesungguhnya saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga” (HR. Al-Bukhari, 439 & Muslim, 533)

5. Rumah Penginapan

Rumah tumpangan yang dibangunkan untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan boleh juga difahami dengan istilah ‘homestay’, atau bilik untuk disewa pada zaman sekarang. Walaupun kebanyakan orang membangunkan tempat sebegini untuk mendapatkan keuntungan dengan kaedah penyewaan, namun masih terdapat di beberapa tempat, kemudahan ‘bilik musafir’ disediakan berdekatan dengan masjid–masjid. Kadang-kadang sedikit bayaran dikenakan untuk tujuan penyelenggaraan dan ada pula yang menyediakannya secara percuma.

6. Sungai, Telaga, Kolam Yang Dapat Memberi Manfaat Kepada Orang Ramai

Perkara ini mungkin lebih praktikal dilakukan di kawasan kampung di mana sesetengah orang mempunyai pemilikan tanah yang luas dan semangat kejiranan yang masih lagi menebal.

Walaubagaimanapun, kebanyakan rumah pada masa sekarang sudah memiliki sistem perpaipan yang teratur. Jika ada yang masih menggunakan telaga, ianya boleh digunakan untuk memberi minum binatang ternakan. Atau boleh juga diwujudkan tangki bekalan air yang boleh digunakan oleh jiran tetangga pada masa-masa kecemasan.

7. Sedekah

Umum mengetahui tentang manfaat sedekah. Selain dapat menambah harta di dunia, ia juga dapat menyelamatkan diri kita di akhirat kelak. Sedekah akan memadam dosa sebagaimana air memadamkan api. Ia juga mampu menjauhkan kita daripada azab api neraka walaupun hanya sedekah dengan sebutir kurma.

Allah sentiasa memberi kita ruang dan pilihan untuk membantu diri sendiri. Sekian banyak saranan yang telah disebutkan dalam hadis, masakan tidak ada satu pun yang tidak mampu kita buat. Manfaatnya mungkin tidak kita rasakan ketika di dunia, namun di akhirat kelak, di saat tidak ada seorang pun yang mampu menolong kita, pasti kita benar-benar memerlukannya.

Add Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.